Rabu, 11 Agustus 2010

Ideologi Singapura

Ideologi Singapura

Ideologi Singapura adalah Demokrasi dalam hal ini dilihat dari pembangunan ekonomi yang turut dikaitkan dengan tahap pendemokrasian dalam ertikata ekonomi yang lebih maju turut menyumbang kepada peningkatan tahap demokrasi yang diamalkan oleh sesebuah negara. Tesis yang popular ini dikemukakan oleh Lipset (1973). Lipset, ahli sosiologi politik yang tersohor, walau bagaimanapun melihat hubungan pembangunan ekonomi dan demokrasi berpandukan pengalaman masyarakat maju Barat yang homogen yang latarbelakang sejarah masyarakatnya jauh berbeza dari masyarakat membangun seperti Asia Tenggara.


Singapura mempunyai tahap ekonomi yang lebih maju berbanding Malaysia atau negara – negara lain di Asia Tenggara, tetapi ini tidak bermakna tahap pendemokrasiannya lebih tinggi dari Malaysia. Sungguh pun demokrasi Malaysia disifatkan sebagai ‘terhad’ atau ‘separuh matang’ (quasi) oleh sebahagian penganalisis politik, sifat masyarakatnya yang majmuk memungkinkan wujudnya politik pembangkang dan bangkangan yang agak kuat berbanding dengan apa yang berlaku di Singapura. Mungkin dari sudut tahap pendemokrasian, Myanmar berada di tangga yang tercorot atas hakikat negara ini masih mengamalkan pemerintahan ketenteraan. Thailand dan Indonesia yang pernah bereksperimentasi dengan pemerintahan ketenteraan nampaknya tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat. Vietnam, Laos dan Cambodia yang pernah dicengkam oleh pemerintahan komunis juga tidak mempamerkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Nampaknya negara seperti Malaysia dan seterusnya Singapura yang mewarisi sistem pemerintahan Inggeris yang membekalkan sistem birokrasi yang agak utuh dan sistem ekonomi yang ‘terbuka’ telah membekalkan prasarana yang baik bagi pertumbuhan ekonomi seterusnya. Sistem demokrasi yang lebih dicirikan oleh elemen autoritarianisme nampaknya telah mendorong wujudnya sistem politik yang relatif stabil dan sekaligus membekalkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi. Suasana ini berlaku di Malaysia dan Singapura. Dari sudut pemikiran kepimpinan negara yang berkaitan, mungkin ini adalah pilihan terbaik bagi negara – negara Asia Tenggara iaitu pilihan yang menggabungkan amalan demokrasi dan autoritarianisme yang lahir dari acuan dan nilai tempatan dalam usaha mereka melangkah ke arah mencapai status negara maju.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar